Cebisan dari Usrah


Assalamualaikum.

Entri kali ini mungkin berbaur nostalgik sedikit, kerana ianya mengaitkan pengalamanku sebagai naqibah usrah suatu masa dahulu, di UTP. Ini bukanlah coretan untuk mencanangkan apa-apa, kerana yang sebenarnya apa yang dipanggil usrah itu hanyalah sebuah ruang. Dan ruang itu milik semua, buat mereka yang ingin kepadanya. Ruang untuk masing-masing belajar daripada satu sama lain dan berkongsi, waima siapa pun ketika itu sama ada yang lebih muda atau berusia. 

Mudah-mudahan, di dalam detik manis duduk minum secawan kopi di tepi kaki lima, dalam tekun bersila di majlis ilmu, atau ketika bersama-sama menikmati deruan angin damai di taman seusai riadah, dapatlah dirasai sekelumit rasa bahagia persis bersama ahli keluarga sendiri. Melihat luasnya bumi, nah luas lagi terbentang kuasa Ilahi. Kau bimbing aku, aku bimbing kamu, ke arah pemikiran dan keyakinan baru. 

Dan tanpa aku sedari, melalui usrah ini jugalah terjalin persahabatan yang akrab. Bila mana setiap sudut kecil individu dirai, menjadi medan bebas untuk berekspresi, lontaran idea yang kurang matang tidak dipatahkan tetapi dibina dan diperhalusi, hingga kan si dia yang paling pendiam pun jadi petah berkata, ketika itu sedarlah yang sifat percaya sudah menjelma. Dan bila percaya, suka dan duka tidak lagi seorang diri terasa.

Mungkin bagi mereka usrah ini sistem yang kemas, yang wajib melahirkan sedemikian kriteria pada individu. Tetapi bagi aku, indahnya usrah ini pada legasi. Legasi kepercayaan dan persahabatan yang tak lekang dek waktu. Aku ini insan biasa, masih melayari bahtera kehidupan sehingga satu masa diambil Allah. Tidak terkenal pada nama, tetapi sekurang-kurangnya andai waktu itu tiba, aku akan masih hidup di bibir mereka.

"Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang yang terbunuh (yang gugur syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki" (Ali Imran: 169) 

Buat adik yang mengirimkan bait-bait indah ini, terima kasih kerana percaya :)


tumblr

Pada pertemuan kali pertama
kau ku geruni tak tahu kenapa
mungkin kerana jurang antara kita
kau senior dan aku bukan sesiapa.

Detik berganti silih berganti
perancangan terbaik dari Ilahi
kau hadir sebagai guru dan sahabat sejati
memandu aku yang buta tuli.

Kau ku anggap sesuatu
pada wajah kau pancar tenangmu
tapi di hati hanya Tuhan yang tahu
1001 rahsia kejap di kalbu.

Jujur, kau ku kagumi dalam bisu
aku insan yang takutkan bayang sendiri
tapi kau ajar aku untuk berani
aku insan yang selalu kecewa
tapi kau sentiasa ada membawa ceria
aku insan yang sentiasa berasa keliru
tak tahu yang mana betul, yang mana tipu
tapi kau tenang memecah buntu.

Kau mengajarkan aku sesuatu
mencampak jauh cara yang dulu
yang hanya melihat mengguna nafsu
kepada pemikiran yang lebih baharu
hadis dan Quran menjadi pandu.

Aku sering mengadu aku kecewa dengan manusia
bermuka-muka berkata dusta
tapi kau sedarkan aku tentang dunia
yang sementara, yang kekal hanya di sana.

Bila aku meluah rasa
tak pernah kau caci, tak pernah kau hina
walau yang ku adu sekecil benda
tetap kau tunjuk rasa teruja
meraikan aku sehabis daya.

Walau kita lain ibu dan bapa
walau kita baru kenal sedetik cuma
walau kau sibuk ke sini ke sana
tak jemu kau layan si budak manja
mengadu itu ini suka dan duka
persis seorang kakak melayan adiknya.

Sayangnya masa mencemburui kita
berpisah juga kita akhirnya
semoga kau tabah di luar sana
hadapi onak duri yang bakal menjelma
terus pejuang agama Yang Esa.

Mungkin kau ada terasa
atau aku yang terlebih, tersilap cara
hanya maaf yang mampu ku pinta
jutaan terima kasih untuk segalanya
semoga ketemu kita di lain masa
tak bertemu di dunia
in shaa Allah bertemu di syurga Pencipta.

- 18 Januari 2015 -


Comments

Popular posts from this blog

The message in a bottle

The goodness worth holding on to

The Strength Within Us (The Untold Story)