Kisah Cinta Agung Fatimah dan Ali
![]() |
| credit |
Dipendamkan dalam hatinya, yang tidak diceritakan kepada sesiapa tentang perasaan hatinya.
Tertarik dirinya kepada seorang gadis, yang punya peribadi tinggi, paras yang cantik, kecekalan yang kuat, apatah lagi ibadahnya, hasil didikan ayahnya yang dicintai oleh umat manusia, yakni Rasulullah s.a.w. Itulah Fatimah Az-Zahrah, puteri kesayangan Nabi Muhammad, serikandi berperibadi mulia.
Abu Bakar Melamar Fatimah
Dia sedar, dirinya tidak punya apa-apa, untuk meminang puteri Rasulullah. Hanya usaha dengan bekerja supaya dapat merealisasikan cintanya. Itulah Ali, sepupu baginda sendiri. Sehingga beliau tersentap, mendengar perkhabaran bahawa sahabat mulia Nabi, Abu Bakar As-Siddiq, melamar Fatimah. "Allah mengujiku rupanya", begitu batin Ali bersuara. Ia merasa diuji kerana merasa apalah dia dibandingkan dengan Abu Bakar. Kedudukan di sisi Nabi? Abu Bakar nyata lebih utama, mungkin dia bukan kerabat dekat Nabi seperti Ali, namun keimanan dan pembelaannya pada Allah dan RasulNya tak tertandingi. Lihatlah bagaimana Abu Bakar menjadi teman perjalanan Nabi dalam hijrah sementara Ali bertugas menggantikan beliau untuk menanti maut di tempat pembaringannya.
Lihatlah juga bagaimana Abu Bakar berdakwah. Lihatlah berapa banyak tokoh bangsawan dan saudagar Makkah yang masuk Islam kerana sentuhan Abu Bakar; Utsman, Abdurrahman ibn Auf, Thalhah, Zubair, Said bin Abi Waqqash, Musab. Ini yang tidak mungkin dilakukan kanak-kanak kurang pergaulan seperti Ali. Lihatlah betapa banyak budak muslim yang dibebaskan dan para faqir yang dibela Abu Bakar; Bilal, Khabbab, keluarga Yassir, Abdullah ibn Masud.
Dan siapa budak yang dibebaskan Ali? Dari segi kewangan, Abu Bakar sang saudagar, insyaAllah lebih bisa membahagiakan Fatimah. Ali hanyalah pemuda miskin dari keluarga miskin. "Inilah persaudaraan dan cinta", gumam Ali. "Aku mengutamakan kebahagiaan Fatimah atas cintaku".
Umar Al-Khattab Melamar Fatimah
Perkhabaran diterima bahawa pinangan Abu Bakar ditolak baik oleh Nabi. Ini menaikkan semangat beliau untuk berusaha mempersiapkan diri. Tapi, ujian itu bukan setakat di situ, kali ini perkhabaran lain diterima olehnya. Umar Al-Khattab, seorang sahabat gagah perkasa, menggerunkan musuh Islam, dan dia pula cuba meminang Fatimah.
Seorang lelaki yang terang-terangan mengisyiharkan keislamannya , yang nyata membuatkan muslimin dan muslimat ketika itu yang dilanda ketakutan oleh tentangan kafir quraisy mula berani mendongak muka, seorang lelaki yang membuatkan syaitan berlari ketakutan. Ya, Al Faruq, sang pemisah kebenaran dan kebathilan itu juga datang melamar Fatimah. Ali mendengar sendiri betaoa seringnya Nabi berkata, "Aku datang bersama Abu Bakar dan Umar, aku keluar bersama Abu Bakar dan Umar, aku masuk bersama Abu Bakar dan Umar". Betapa tinggi kedudukannya di sisi Rasul, di sisi ayah Fatimah. Ali redha kerana dia tahu Umar lebih layak darinya untuk memperisterikan Fatimah.
Tetapi, sekali lagi peluang terbuka, tatkala perkhabaran diterimanya, bahawa pinangan Umar juga ditolak. Bagaimanakah sebenarnya menantu pilihan Nabi, sedangkan dua sahabat baginda turut ditolak peminangannya? Pada suatu hari Abu Bakar As-Siddiq, Umar Al-Khattab, dan Saad bin Muadz bersama-sama Rasulullah s.a.w. duduk dalam masjid. Pada kesempatan itu dibincangkan antara lain persoalan puteri Nabi s.a.w. Saat itu baginda bertanya kepada Abu Bakar As-Siddiq "Apakah engkau bersedia menyampaikan persoalan Fatimah itu kepada Ali bin Abi Talib?" Abu Bakar menyatakan kesediaannya.
Saidina Ali Dikhabarkan Berita Kejutan
Ia pun beranjak untuk menghubungi Ali. Sewaktu Saidina Ali melihat datangnya Abu Bakar As-Siddiq, dengan tergopoh-gapah dan terperanjat ia menyambutnya kemudian bertanya, "Anda datang membawa berita apa?". Setelah duduk beristirehat sejenak Abu Bakar As-Siddiq segera menjelaskan persoalannya:
Hai Ali engkau adalah orang pertama yang beriman kepada Allah dan RasulNya serta mempunyai keutamaan lebih berbanding dengan orang lain. Semua sifat utama ada pada dirimu. Demikian pula engkau adalah kerabat Rasulullah . Beberapa orang sahabat terkemuka telah menyampaikan lamaran kepada baginda untuk menyunting puteri beliau. Lamaran itu semua telah beliau tolak. Beliau mengemukakan bahawa persoalan puterinya telah diserahkan kepada Allah. Akan tetapi hai Ali, apa sebab sehingga sekarang engkau belum pernah menyebut-nyebut puteri beliau itu dan mengapa engkau tidak melamar untuk dirimu sendiri? Kuharap semoga Allah dan RasulNya itu akan menahan puteri itu untukmu.
Saidina Ali Menangis
Mendengar perkataan Abu Bakar As-Siddiq, mata Saidina Ali berlinang air mata. Menanggapi kata-kata itu, Ali r.a. berkata:
Hai Abu Bakar, anda telah membuatkan hatiku bergoncang yang sebelumnya tenang. Anda telah mengingatkan sesuatu yang sudah kulupakan. Demi Allah aku memang mengkehendaki Fatimah tetapi yang menjadi penghalang satu-satunya bagiku adalah kerana aku tidak mempunyai apa-apa.
Abu Bakar r.a. terharu mendengar jawapan Ali itu. Untuk membesarkan dan menguatkan hati sahabatnya itu Abu Bakar berkata:
Hai Ali, janganlah engkau berkata seperti itu. Yakinlah bagi Allah dan RasulNya dunia dan seisinya ini hanyalah ibarat debu yang bertaburan belaka dibandingkan dengan niat luhurmu itu!
Saidina Ali Melamar Fatimah
Beberapa waktu kemudian Saidina Ali datang menghadap Rasulullah yang ketika itu sedang berada di tempat kediaman Ummu Salmah. Mendengar pintu diketuk orang, Ummu Salmah bertanya kepada Rasulullah, "Siapakah yang mengetuk pintu?" Rasulullah menjawab, "Bangunlah dan bukakan pintu baginya. Dia orang yang dicintai Allah dan RasulNya dan ia pun mencintai Allah danRasulNya!" Jawapan Nabi Muhammad itu belum memuaskan Ummu Salmah r.a. Ia bertanya lagi, "Ya tetapi siapakah dia itu?" "Dia saudaraku orang kesayanganku!" Jawab Nabi Muhammad s.a.w.
Ali bin Abi Talib menundukkan kepala seolah-olah mempunyai maksud tetapi malu untuk mengutarakannya. Rasul Allah mendahului berkata, "Hai Ali, nampaknya kau mempunyai satu keperluan. Katakanlah apa yang ada dalam fikiranmu. Apa sahaja yang engkau perlukan akan kau peroleh dariku!" Mendengar kata-kata Rasulullah yang demikian itu lahirlah keberanian Ali untuk berkata-kata:
Maafkanlah Ya Rasulullah. Anda tentu ingat bahawa anda telah mengambil aku dari pakcikmu Abu Talib dan makcikmu Fatimah binti Asad di kala aku masih kanak-kanak dan belum mengerti apa-apa. Sesungguhnya Allah juga telah memberi hidayah kepadaku melalui anda juga. Dan anda, Ya Rasulullah, adalah tempat aku bernaung dan anda jugalah yang menjadi wasilahku di dunia dan akhirat. Setelah Allah membesarkan diriku dan sekarang menjadi dewasa aku ingin berumah tangga, hidup bersama seorang isteri. Sekarang aku datang menghadap untuk melamar puteri anda Fatimah. Ya Rasulullah apakah anda berkenan menyetujuiku dan menikahkan diriku dengan Fatimah?
![]() |
| credit |
Mas Kahwin Saidina Ali
Ummu Salmah bercerita: Saat itu kulihat wajah Rasulullah nampak berseri-seri. Sambil tersenyum beliau berkata kepada Ali bin Abi Talib,"Hai Ali apakah engkau mempunyai suatu bekal mas kahwin?" "Demi Allah, anda sendiri mengetahui bagaimana keadaanku tak ada sesuatu tentang diriku yang tidak anda ketahui. Aku tidak mempunyai apa-apa selain sebuah baju besi, sebilah pedang, dan seekor unta." Jawab Ali jujur.
Rasulullah menjawab, "Tentang pedangmu itu, engkau tetap memerlukannya di jalan Allah. Dan untamu itu engkau juga perlu buat keperluan mengambil air bagi keluargamu dan juga engkau memerlukannya dalam perjalanan jauh. Oleh itu aku hendak menikahkan engkau hanya atas dasar mas kahwin sebuah baju besi sahaja. Aku puas menerima barang itu dari tanganmu. Hai Ali engkau wajib bergembira sebab Allah Azza wajalla sebenarnya sudah lebih dahulu menikahkan engkau di langit sebelum aku menikahkan engkau di bumi!"
Demikian riwayat yang diceritakan oleh Ummu Salamah r.a. Setelah segala-galanya siap dengan perasaan puas hati dan gembira dengan disaksikan para sahabat, Rasulullah s.a.w. mengucapkan kata-kata ijab kabul pernikahan puterinya, "Bahawasanya Allah swt memerintahkan aku supaya menikahkan engkau Fatimah atas dasar mas kahwin 400 dirham. Mudah-mudahan engkau dapat menerima hal itu." "Ya Rasulullah, kuterima dengan baik", jawab Saidina Ali.
Inilah jalan cinta para pejuang. Jalan yang mempertemukan cinta dan semua perasaan dengan tanggungjawab. Cinta tak pernah meminta untuk menanti atau mengambil kesempatan. Seperti Ali, dengan mulianya mempersilakan. Yang utama adalah pengorbanan, yang kedua adalah keberanian. Dan ternyata tak kurang juga yang dilakukan oleh Puteri Sang Nabi dalam diamnya.
Fatimah Pernah Mencintai Seseorang
Dalam satu riwayat dikisahkan, pada suatu hari, Fatimah berkata kepada Ali, "Maafkan aku kerana sebelum menikah denganmu aku pernah satu kali merasakan jatuh cinta pada seorang pemuda." Ali terkejut dan berkata, "Wahai Fatimah, jika begitu mengapa engkau menerima lamaranku? Dan siapakah pemuda itu?"
Sambil tersenyum Fatimah menjawab, "Ya, kerana pemuda itu adalah Dirimu."
![]() |
source: blog



